KUALA LUMPUR 25 Mac – Masalah berkaitan sistem pembetungan di Taman Megah di sini memaksa Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. melakukan dua pemeriksaan sejak Jumaat lalu bagi mengenal pasti punca sebenar.
Meskipun kawasan itu adalah sistem pembetungan milik persendirian di bawah tanggungjawab Badan Pengurusan Bersama (JMB), IWK tampil membantu dengan membuat pemeriksaan selepas menerima aduan penduduk.
IWK dalam kenyataan di sini hari ini berkata, pihaknya menggunakan peralatan kamera untuk mengeluarkan beberapa objek yang tersumbat di dalam saluran paip.
“Bagaimanapun setelah objek dikeluarkan, paip tersebut kembali tersumbat akibat kerosakan struktur pada paip pembetungan persendirian berkenaan.
“IWK terpaksa melakukan kerja-kerja menyedut kumbahan yang terkeluar di jalan berdekatan namun jika masalah utama tidak dibetulkan usaha itu akan menjadi langkah penyelesaian sementara sahaja.
“Pemeriksaan kedua melalui kamera menunjukkan punca sebenar kerosakan iaitu pemasangan kabel-kabel asing oleh pihak tertentu yang menjejaskan paip pembetungan tersebut,” katanya.
Menurut kenyataan itu, bagi membantu penduduk, IWK menyerahkan hasil siasatan CCTV tersebut yang lengkap dengan lokasi sebenar kerosakan kepada pengurusan bangunan untuk tindakan lanjut.
“IWK ingin menasihatkan pengguna agar tidak membuang sampah atau sisa minyak masak ke dalam singki atau mangkuk tandas bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku,’’ katanya.
Laporan akhbar baru-baru ini memetik Pengerusi Suara Rakyat, A. Ponnampalan yang menyatakan air kumbahan bertakung menyebabkan penduduk di Taman Megah terpaksa menghidu bau busuk. – UTUSAN ONLINE











