KUALA LUMPUR 25 Mac- Menteri Dalam Negeri berpendapat proses maklum balas daripada pelbagai pihak berkaitan diperlukan sebelum Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dimuktamadkan.
Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, walaupun pihak kerajaan bersetuju untuk memperkasakan IPCMC namun perkara itu masih memerlukan pemahaman mendalam.
“Saya kira ini memerlukan proses maklum balas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguat kuasa lain agar dapat diterima baik oleh semua pihak.
“Mungkin perlu langkah-langkah susulan kerana belum ramai yang memahami tujuan dan cara bagaimana ia dilaksanakan, seolah-olah memberi tumpuan kepada satu pihak sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas Hari Peringatan Polis Ke-212 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Pada 19 Mac lalu, Mohamad Fuzi memaklumkan pihaknya akan menyerahkan memorandum berkaitan IPCMC kepada kepimpinan kerajaan dalam masa terdekat.
Jelas beliau, memorandum hasil daripada perbincangan menerusi Persidangan Agung Tergempar Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRP) itu masih dalam proses penelitian bagi memastikan ia dirangka secara menyeluruh.
“Ada beberapa perkara yang dibincangkan dan dibentangkan seperti langkah proaktif yang boleh diambil pihak berkuasa dan luahan hati mereka berhubung isu tertentu berkaitan IPCMC,” katanya.- UTUSAN ONLINE











