PADANG BESAR 25 Mac – Sambutan Hari Mara yang diraikan pada tanggal 1 Mac saban tahun disambut meriah bagi peringkat negeri Perlis melalui ‘Program Budi Mara’ yang diadakan di Dewan Ibnu Khaldun, Institut Kemahiran MARA (IKM) Beseri, di sini baru-baru ini.
Kemuncak sambutan ulang tahun ke-53 Mara di negeri ini berupa gimik perasmian replika robot yang terdapat di pintu masuk utama institut berkenaan yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Mara Negeri, Lukman Hakim Hasan dan Pengarah IKM Beseri, Mohamad Johari Man @ Osman.
Antara aktiviti yang dianjurkan ialah ‘Kayuhan Harapan Kasih@MARA 2019’, penyerahan Zakat Perniagaan Pelaburan Mara Berhad (PMB) dan Rural Capital Bhd (RCB) kepada pihak MAIPs, perasmian kilang usahawan MARA (MFI World Sdn. Bhd) dan pelbagai lagi.
Turut diadakan ialah kunjungan ke tiga buah rumah asnaf terpilih yang terletak di Kampung Semadong dan Kampung Bukit Merah bagi menyampaikan sumbangan dan juga diadakan gotong-royong membersihkan kawasan yang dilaksanakan oleh para pelajar daripada MRSM Beseri, MRSM Arau, Giat Mara dan IKM Beseri. – Utusan Online











