ALOR SETAR 25 Mac – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu lebih pantas dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat termasuk masalah air di Kedah.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Mohammed Firdaus Johari berkata, kerajaan kini berdepan dengan pelbagai isu seperti kenaikan harga barang, pendidikan dan pelbagai lagi yang berkaitan dengan rakyat.
Justeru katanya, rasa kecewa Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dengan prestasi kerajaan yang disifatkan terlalu perlahan dalam menangani isu itu sememangnya ada asas.
“AMK Kedah berpendapat kerajaan harus bertindak pantas menyelesaikan isu-isu kebanyakan rakyat iaitu isu kenaikan harga barang, isu pendidikan dan isu air khususnya di Kedah.
“Ini merupakan suara majoriti rakyat Malaysia yang mahukan keselesaan dan penambahbaikan dalam kehidupan seharian mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Izzah yang memberi gambaran tidak akan bertanding lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas kecewa dengan prestasi kerajaan yang disifatkan terlalu perlahan dalam menangani isu berkaitan rakyat
Sementara itu, AMK negeri juga memuji tindakan tegas dan berani Izzah yang meletakkan jawatan sebagai salah seorang ahli dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Katanya, puteri reformasi itu komited dan berpendirian jelas untuk melihat agenda perubahan termasuk dalam soal kepemimpinan PAC yang perlu diterajui pemimpin pembangkang seperti yang terkandung dalam manifesto PH sebelum ini.
“AMK juga ingin menegaskan betapa pentingnya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir berpegang pada janji manifesto PH iaitu Pengerusi PAC diketuai oleh pemimpin pembangkang.
“Ini adalah bagi memastikan kebertanggungjawaban pihak eksekutif. Seperti kita tahu, Izzah sangat tegas, berprinsip, berani dan komited dengan agenda perubahan serta reformasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE











