LONDON – Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso tidak mahu dibuai dengan kejayaannya menjuarai perlumbaan pembuka musim Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Qatar dua minggu lalu kerana mengakui jentera Desmosedici GP19 pasukannya masih memiliki kelemahan yang perlu diatasi jika berhajat untuk merampas gelaran dunia musim ini.
Pelumba Itali tersebut menjelaskan berdasarkan perlumbaan pertama di Grand Prix (GP) Qatar itu, jentera Ducati masih lagi berdepan kesulitan terutama di selekoh yang menyebabkan mereka kerugian beberapa saat.
Justeru, Dovizioso percaya ramalan untuk menentukan siapa bakal mendominasi saingan MotoGP musim 2019 ini akan diketahui sekurang-kurangnya pada pusingan kelima perlumbaan iaitu pada GP Perancis di Le Mans kerana tiga perlumbaan terawal iaitu di Qatar, Argentina dan Amerika Syarikat (AS) selalunya dianggap sebagai pemanas badan sebelum berdepan cabaran sebenar di Eropah pada GP Sepanyol dan GP Perancis.
“Kita perlu menunggu sehingga saingan di Le Mans untuk berbicara mengenai dominasi kerana dua pusingan perlumbaan selepas ini (Argentina dan AS) semua pelumba perlu berdepan keadaan dan reka bentuk litar yang sukar serta unik. Apa yang saya boleh katakan ialah saingan musim ini sangat kompetitif.
“Jika kamu melakukan kesilapan, sudah pasti kamu akan kehilangan mata yang banyak dan terpaksa bekerja keras semula untuk meraih kemenangan. Sebab itu, kami perlu bersabar dan terus bekerja keras memastikan keadaan jentera berada dalam tahap terbaik pada lima pusingan awal ini.
“Kemenangan di Qatar adalah permulaan yang baik, tetapi kami masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki. Kami masih lagi perlahan di pertengahan selekoh. Di laluan lurus, kelajuan jentera sangat baik dan mempunyai daya pecutan yang sangat sempurna.
“Jadi, saya harap pasukan kami dapat atasi masalah ini sebelum bermulanya perlumbaan kedua di Argentina nanti,” tegas Dovizioso. – Agensi











