INGIN menjaga maruah diri dan nama baik keluarga menjadi sebab utama mengapa pelakon kelahiran Brunei, Nina Iskandar memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah portal hiburan yang telah mencalarkan imejnya dengan menerbitkan sebuah artikel yang disifatkan berbaur fitnah.
Sekitar awal Mac, portal tersebut memuat naik sebuah artikel dan menuduh pelakon drama Cinta Bukan Kristal itu menjalinkan hubungan sulit dengan seorang penolong pengarah drama sehingga menyebabkan lelaki itu bercerai dengan isterinya.
Selain portal hiburan, sebuah sisipan hiburan akhbar arus perdana juga telah mengeluarkan artikel yang serupa dan kemudiannya tersebar luas menerusi platform media sosial.
Ditemui pada sidang akhbar khas yang diadakan di ibu kota pada Sabtu lalu, Nina atau nama sebenarnya, Nur Akmalina Iskandar, 28, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
Katanya, fitnah tersebut dicetuskan oleh bekas isteri penolong pengarah drama itu dan turut disebarkan oleh individu yang bekerja sebagai jurusolek artis.
Ujar Nina, berita dan artikel yang disiarkan sebelum ini bukan sahaja berunsur fitnah, malah bertujuan menjejaskan kerjayanya sebagai artis.
Dalam pada itu, peguam yang mewakili Nina, Mohd. Irwan Mohd. Mubarak juga turut menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada pihak yang terlibat dalam tempoh tujuh hari sehingga 27 Mac ini. Jika gagal berbuat demikian, mereka akan dikenakan tindakan undang-udang.
KOSMO!: Bagaimanakah Nina sedar berita yang mendakwa anda penyebab keruntuhan rumah tangga seorang penolong pengarah drama mula tersebar?
NINA: Ketika berita tersebut dikeluarkan oleh portal berkenaan pada 12 Mac lalu, ramai yang mengirimkan berita berkenaan kepada saya. Waktu itu, saya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, sebaliknya terus menghubungi peguam.
Mengapakah anda tidak mahu mengeluarkan kenyataan dan terus merujuk kepada pihak peguam?
Sejujurnya, saya memandang isu ini sebagai satu hal yang serius. Sebolehnya, saya mahu kes ini dikendalikan secara profesional. Fitnah tersebut melibatkan nama saya dan keluarga di Brunei. Disebabkan itu, saya tidak boleh bertolak ansur.
Mengapakah anda mengambil masa yang agak lama untuk membuat kenyataan?
Selepas mendapat tahu tentang artikel berkenaan, saya terus melantik peguam. Selepas itu, saya menyerahkan segala urusan kepadanya. Selepas siasatan selesai dijalankan, baru saya mengambil keputusan untuk membuat kenyataan mengikut nasihat yang diberikan oleh peguam
Adakah anda pernah berhubung dengan pihak portal berkenaan?
Tidak.
Bagaimanakah hubungan anda dengan penolong pengarah drama itu?
Secara profesionalnya, saya dan dia hanyalah rakan sekerja.
Bagaimanakah pula dengan paparan skrin yang menunjukkan anda menulis nama lelaki itu pada sebuah papan tanda iklan?
Paparan skrin yang saya muat naik itu hanyalah gurauan, tidak lebih daripada itu. Saya rasa, gurauan tersebut tidak membawa sebarang masalah.











