Borneo Eagles laung amaran awal - Utusan Malaysia

Borneo Eagles laung amaran awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Mac – Pasukan Borneo Eagles melaungkan amaran awal untuk mendominasi Kejohanan Ragbi Antarabangsa Borneo Tujuh Sebelah apabila memenangi dua perlawanan pusingan awal pada hari pembukaan kejohanan itu di Sandakan, Sabah, hari ini.

Kelab tuan rumah itu, yang memburu gelaran keenam, dengan mudah menewaskan Taiwan dan Belgium Barbarians dengan keputusan sama 47-0 untuk muncul juara Kumpulan C di Kelab Ragbi Eagles.

Pengendalinya, Josh Van Lieshout, yang juga bekas pemain All Blacks berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya tetapi turut mengakui barisan pemain pasukannya mampu menunjukkan aksi yang lebih baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jangkaan saya adalah lebih tinggi, esok, kerana sudah menghadapi beberapa perlawanan pemanas badan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab tersebut hari ini.

Borneo Eagles akan berdepan dengan pasukan ‘abang’, Sabah Eagles, esok, untuk memburu slot separuh akhir.

Sabah Eagles turut layak ke suku akhir selepas menewaskan Thailand 40-7 dan Wipers Hugi Labuan 46-0 untuk muncul juara Kumpulan D.

Sementara itu, skuad negara turut melangkah ke suku akhir selepas mengalahkan pasukan dari Australia, Caloundra 28-0 dalam perlawanan kedua selepas kalah 42-7 kepada Hong Kong pada aksi pembukaan Kumpulan B.

Dalam kategori wanita pula, dua pasukan dari Jepun, Pearls dan Nagato Blues, menguasai saingan pusingan awal tanpa membolos sebarang mata dalam tiga perlawanan.

Pearls mengalahkan Hong Kong 34-0, Singapura 57-0 dan Filipina 42-0 untuk muncul juara kumpulan A, manakala, Nagota Blues menewaskan Sabah Eagles 34-0, Malaysia 38-0 dan Southern District of Australia 12-0 bagi menjuarai kumpulan B.

Kejohanan tahunan itu disertai oleh 20 pasukan dari dalam dan luar negara. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini