KUALA LUMPUR 23 Mac – ABANG ipar durjana. Itu gelaran yang patut diberikan seorang lelaki yang merogol serta meliwat remaja berusia 18 tahun sejak dua tahun lalu sehingga gadis itu kini hamil lapan minggu.
Bagaimanapun, perbuatan terkutuk lelaki berusia 30 tahun tersebut terbongkar selepas mangsa membuat laporan polis kira-kira pukul 9.30 malam semalam dan suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Kajang di rumahnya di daerah itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, dalam kejadian pukul 2 pagi semalam, mangsa mendakwa telah dipukul suspek dengan menggunakan tali pinggang di bahagian belakang kerana tidak melayan kehendaknya untuk melakukan hubungan seks.
Menurutnya, mangsa telah dipaksa melakukan perbuatan tersebut sejak berusia 16 tahun malah suspek pernah merakam aksi terkutuk itu menggunakan telefon bimbit.
“Remaja itu diugut untuk tidak membuat laporan polis serta suspek akan menunjukkan video berkenaan kepada suami mangsa sekiranya dia berkahwin nanti, malah kakak mangsa iaitu isteri suspek turut memarahinya jika tidak melayan kehendak lelaki itu.
“Hasil siasatan mendapati mangsa yang tinggal bersama pasangan tersebut kali terakhir dirogol sebanyak dua kali serta diliwat suspek pada 19 Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ahmad Dzaffir, lelaki itu kini direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 29 Mac ini,
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, Seksyen 377D dan Seksyen 324 kanun sama.











