Mohon jangan potong subsidi - Utusan Malaysia

Mohon jangan potong subsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENARKAH kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan melaksanakan cadangan pengurangan subsidi ke atas bakal jemaah haji kali pertama melalui konsep istito’ah (kemampuan)? Berdasarkan pemahaman penulis berdasarkan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof di Dewan Rakyat Khamis lalu itulah yang akan dilakukan oleh Tabung Haji.

Menurut Mujahid, langkah itu bertujuan mengurangkan beban subsidi yang selama ini ditanggung oleh Tabung Haji sebanyak kira-kira RM400 juta setahun. Setakat ini tiada perincian dikeluarkan daripada pihak Tabung Haji berhubung cadangan tersebut. Berdasarkan kadar belanja haji semasa, kos sebenar seorang bakal jemaah pada masa ini ialah RM22,900. Bagaimanapun bagi kos yang dikenakan terhadap jemaah haji Malaysia kali pertama (secara muassasah) ketika ini cuma RM9,980.

Itu bermakna subsidi yang ditanggung oleh Tabung Haji ialah sebanyak RM12,920. Penulis bukan mahu mempertikaikan hasrat kerajaan tersebut, pada masa sedar bahawa syarat utama untuk menunaikan rukun Islam kelima itu dari sudut fiqh ialah kemampuan sama ada dari segi kewangan, belanja untuk waris dan aman daripada peperangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun tidak sewajarnya subsidi kos haji dihentikan begitu sahaja hingga menye­babkan jemaah perlu memba­yar RM22,900. Berikan jugalah subsidi jika bukan RM12,920. Mungkin boleh dikurangkan 50 peratus iaitu RM6,460. Dengan jumlah subsidi tersebut, bakal jemaah perlu menyediakan belanja sebanyak RM16,440. Itupun perlu dilihat latar belakang bakal jemaah.

Sekiranya terdapat bakal jemaah yang benar-benar memerlukan bantuan kekalkan sahaja kos RM9,980.

Kalau bakal jemaah orang kaya tidak perlu diberikan subsidi. Memang konsep istito’ah itu adalah syarat utama dalam mengerjakan ibadat haji tetapi jangan lupa matlamat penubuhan Tabung Haji pada 1963 adalah untuk memudahkan umat Islam negara ini menunaikan haji.

Oleh itu cetusan idea penubuhan Tabung Haji oleh tokoh ekonomi Melayu terkenal, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz tidak boleh sia-siakan dan kewujudannya sejak 56 tahun lalu perlu dimanfaatkan sepenuhnya kepada umat Islam.

Fakta yang tidak boleh dinafikan, lebih lima dekad Tabung Haji berperanan memudahkan jutaan jemaah haji Malaysia menunaikan ibadat itu di Mekah melalui pemberian subsidi. Dengan kata lain Tabung Haji banyak membantu jemaah haji Malaysia agar mereka tergolong sebagai kumpulan yang layak dan mampu (istito’ah) mengerjakan ibadat tersebut.

Tabung Haji bukan calang-calang organisasi malah disifatkan sebagai salah satu institusi ikonik negara ini. Tabung Haji sering dijadikan rujukan negara-negara Islam lain atas kejayaannya menguruskan kewangan dan pengurusan bakal jemaah haji dengan efektif.

Kerajaan Arab Saudi juga mengakui kepakaran yang ada pada Tabung Haji dalam soal pengurusan jemaah Malaysia di tanah suci selain sering memuji jemaah haji kita yang sentiasa tertib dan menjaga tingkah laku ketika mengerjakan haji.

Ada yang kata, kerajaan terpaksa memperkenalkan konsep istito’ah itu kerana Tabung Haji berhadapan dengan masalah kewangan ekoran berlaku salah tadbir sebelum ini. Ada pula yang kata, masalah kewangan yang dihadapi oleh Tabung Haji ini berpunca daripada ketidaktentuan yang melanda ekonomi global ketika ini. Wallahuaklam.

Sukar untuk penulis menentukan mana yang benar mana yang salah tetapi yang penting subsidi jangan dipotong. Ia akan memberi kesan yang amat buruk kepada bakal jemaah haji terutama golongan datuk dan nenek.

Bagi golongan warga emas seperti ini, pemergian mereka ke Mekah untuk mengerjakan haji dan Madinah bagi tujuan ziarah adalah sesuatu yang amat istimewa. Sesuatu yang amat diidam-idamkan dan yang dicita-citakan sebelum mereka meninggalkan dunia yang fana ini.

Yang pasti, sebahagian besar orang kampung bukan orang senang. Hidup mereka cukup sederhana. Dengan wang pendapatan tidak seberapa hasil daripada kerja kampung serta pemberian daripada anak-anak, mereka berusaha simpan sedikit demi sedikit dalam Tabung Haji dengan harapan akan menjadi duyufurrahman satu hari nanti.

Justeru, cuba bayangkan bagaimana datuk dan nenek kita ini hendak kumpul duit sehingga RM22,900 setiap seorang sekiranya subsidi dipotong. Jika inilah jumlah kos yang dikenakan sememangnya sukar untuk mereka menunaikan ibadat haji. Oleh itu besarlah harapan agar kerajaan pertimbangkan dengan sewajarnya segala yang berkaitan dengan isu subsidi haji ini. Paling kurang wujudkan suasana menang-menang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini