KUALA LUMPUR 23 Mac – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa mengambil tindakan serius terhadap sebarang salah laku pegawai atasan dalam agensi kerajaan yang dikatakan penyumbang utama kadar rasuah dan jenayah dalam negara masih tinggi.
Langkah itu perlu diambil selepas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki mendedahkan kegiatan rasuah dalam kalangan penguat kuasa bagi melindungi banyak kesalahan pusat urut menjadi satu daripada punca masalah pelacuran subur dalam negara.
Berdasarkan pendedahan tersebut, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim menegaskan, tahap integriti dalam agensi penguatkuasaan yang melibatkan pegawai atasan adalah penyumbang utama kepada kegagalan pihak berkuasa untuk membendung gejala rasuah dan salah guna kuasa.
“Kita mendesak agar agensi berkaitan melakukan pemantauan serius supaya budaya negatif ini dapat diatasi sehingga ke akar umbi khususnya dalam kalangan anggota agensi penguatkuasaan.
“Amalan tolak rasuah harus bermula dari peringkat tertinggi supaya mereka menjadi contoh yang baik kepada kakitangan di bawah seliaan masing-masing tetapi berdasarkan sumber sahih ketika ini perkara sebaliknya yang berlaku,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, laporan eksklusif Utusan Malaysia melaporkan SPRM telah menyenaraikan beberapa tempat di tujuh negeri mempunyai persamaan seperti kawasan hiburan di Patpong, Bangkok, Thailand yang terkenal dengan industri pelacuran.
Sementara itu, penganalisis jenayah dan keselamatan, Kamal Affendi Hashim mencadangkan pihak berkuasa untuk menghantar cadangan serta penambahbaikan kepada kerajaan bagi memantapkan sistem perundangan sedia ada.
Menurut Kamal Affendi, cadangan SPRM untuk mewujudkan undang-undang baharu dilihat dapat menampung ketirisan akta yang lain dalam usaha menangani masalah rasuah serta pelacuran ketika ini.
“Usaha SPRM ini sudah tentu amat dihargai masyarakat umum yang mahu melihat sesuatu dilakukan secara menyeluruh oleh semua pihak berkepentingan,” katanya.











