MERBOK 23 Mac – Seekor ular tedung selar sepanjang empat meter dan seberat 20 kilogram berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Muda di Kampung Tandop Batu, di sini hari ini.
Pegawai APM Kuala Muda, Kepten Azahar Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai kira-kira pukul 10 pagi yang menemukan reptilia tersebut berhampiran kawasan rumah penduduk.
“Lima anggota APM termasuk tiga staf wanita yang bergegas ke tempat kejadian berjaya menangkap ular tersebut dalam tempoh 10 minit,” katanya kepada pemberita di sini.
Dalam pada itu, Azahar memaklumkan, sebanyak 208 ekor ular termasuk ular sawa dan ular tedung telah ditangkap pihaknya sejak awal tahun hingga Februari lalu berbanding 174 ekor dalam tempoh sama tahun lalu.
“Kita mendapati antara faktor peningkatan kes membabitkan tangkapan ular ini adalah ekoran keadaan cuaca yang terlampau panas serta faktor habitat mereka diganggu, diceroboh atau dimusnahkan.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada selain memastikan kawasan rumah masing-masing bersih daripada sampah yang boleh menjadi tempat berteduh kepada reptilia tersebut,” katanya. -UTUSAN ONLINE











