KUALA LUMPUR 23 Mac- Gabungan Pilihan Raya dan Adil (Bersih 2.0) mencadangkan agar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mempertimbangkan penghasilan pangkalan data alamat bergeo-kod sebagai langkah memperketatkan syarat penukaran alamat kad pengenalan
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 berkata, dengan pelaksanaan pangkalan data tersebut, setiap alamat dalam negara mempunyai ‘pengenal unik’ yang dapat mengenal pasti lokasi dengan tepat bersama pengelasan hartanah.
“Ini bukan saja dapat mengelakkan kesamaran dalam rang daftar pemilih tetapi dapat mengenal pasti pendaftaran yang meragukan sama ada terlalu ramai pengundi pada alamat yang sama atau pengundi yang bukan mendiami di alamat tersebut.
“Dengan syarat-syarat pendaftaran alamat yang ketat, ia secara tidak langsung ‘membuka jalan’ kepada pendaftaran pengundi secara automatik. Walaubagaimanapun, perbincangan diperingkat nasional harus dimulakan sama ada kita ingin membenarkan pengundi mengundi dimana mereka mahu atau memaksa mereka mengundi di tempat bermastautin sebagaimana tercatat dalam alamat kad pengenalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE











