Pusat luluskan RM70 juta selesai masalah air di Merbok - Utusan Malaysia

Pusat luluskan RM70 juta selesai masalah air di Merbok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI 23 Mac – Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan sebanyak RM70 juta bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Merbok, Tanjung Dawai, Bedong, Semeling dan Gurun dengan menaik taraf Loji Rawatan Air Tupah dan Merbok serta penggantian paip lama.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, di samping itu, kerajaan juga meluluskan peruntukan bagi pelaksanaan sebanyak 10 buah projek menaik taraf sumber dan bekalan air bernilai RM1.7 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Kata beliau, pihak kementerian memandang serius terhadap masalah air yang melanda di negeri ini seterusnya menjejaskan 20,000 penduduk.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bila semua projek yang diluluskan itu dilaksana sepenuhnya, penduduk di negeri ini, termasuk di Langkawi tidak lagi menghadapi masalah air sehingga 2045 nanti,” katanya semasa sidang akhbar selepas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir merasmikan Hari Air Sedunia 2019 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri, Zamri Yusuf; Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Zurinah Pawanteh; Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Dr. Md. Nasir Md. Noh dan Pegawai Daerah Kuala Muda, Md. Nordin Yahya.

Xavier Jayakumar seterusnya berkata, bagi mengelakkan pembaziran, sebanyak RM44.7 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan program mengurangkan Kadar Kehilangan Air Tak Berhasil (NRW) di bawah program NRW Pendekatan 1 Negeri Kedah dengan peruntukan pada 2019 adalah sebanyak RM12.4 juta.

“Program NRW Kedah ini telah bermula pada 2018 dan dijangka siap pada 2021,” katanya.

Sementara itu, kata beliau, sambutan Hari Air Sedunia disambut 22 Mac setiap tahun adalah acara tahunan dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1993.

Katanya, ia bertujuan meningkatkan kesedaran dan memperbaharui tekad setiap lapisan rakyat di seluruh dunia untuk menangani isu berkaitan air melalui pelan strategik dan pelaksanaan tindakan oleh setiap negara seluruh dunia.

Di majlis itu, beliau turut menyampaikan hadiah kepada sembilan orang pemenang Anugerah Tesis Terbaik Peringkat Kebangsaan sempena Hari Air Sedunia 2019 bagi kategori sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD) dari beberapa buah universiti tempatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini