PORT DICKSON 23 Mac – Seorang lelaki yang tidur nyenyak di dalam bilik tidak menyedari teman wanitanya meninggal dunia di ruang tamu di sebuah kondominium di Telok Kemang dekat sini semalam.
Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, mayat mangsa, Wong Mui Lian, 59, ditemukan oleh sepasukan anggota polis dan bomba yang melakukan pemeriksaan di kondominium tersebut.
“Mangsa yang bekerja di sebuah kedai peralatan sukan di sini tidak hadir kerja sejak kelmarin. Rakannya cuba menghubunginya, tetapi tiada jawapan dan telah pergi ke rumah mangsa.
“Mereka kemudian menghubungi polis dan bomba pada pukul 11.25 pagi untuk mendapatkan bantuan. Selepas berjaya memasuki rumah itu, anggota polis dan bomba menemukan mayat mangsa di atas sofa,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Aidi Sham berkata, pemeriksaan lanjut polis di dalam rumah itu mendapati teman lelaki mangsa sedang nyenyak tidur di dalam bilik hingga terpaksa dikejutkan.
Menurut beliau, siasatan dan pemeriksaan terhadap tubuh mangsa bagaimanapun tidak menjumpai sebarang unsur jenayah berlaku dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Katanya, laporan bedah siasat oleh Hospital Port Dickson mendapati punca kematian mangsa adalah akibat serangan jantung. – UTUSAN ONLINE











