SEREMBAN 23 Mac – DAP menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada 13 April nanti sebagai ‘ibu kepada semua PRK’ kerana mempunyai kesan besar kepada politik negara.
Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan PRK itu akan memberi implikasi kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang meletakkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai calon.
Katanya, sekiranya calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram dapat mengatasi Mohamad, ia akan dapat membuktikan formula kerjasama politik antara UMNO dan Pas tidak berjaya.
“Jika keputusan PRK kali ini berpihak kepada PH, ia akan beri implikasi besar kepada UMNO dan BN kerana kita berjaya menewaskan pemimpin utama mereka.
“Hasil keputusan PRK ini akan beri kesan besar bukan saja kepada politik di Negeri Sembilan, tetapi juga politik negara kerana calon BN adalah pemangku Presiden UMNO dan Pengerusi BN.
“Ini juga akan jadi PRK paling penting dan signifikan berbanding PRK lain sebelum ini,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Bilik Gerakan DAP PRK DUN Rantau di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi DAP negeri berkata, PRK DUN Rantau berbeza dengan Semenyih kerana ketika itu PH perlu mempertahankan kerusi, sebaliknya di Rantau mereka perlu menyerang.
“Kalau kita dapat serang kubu kuat Tok Mat (Mohamad), ia bermakna kita dapat perkuatkan PH,” katanya. – UTUSAN ONLINE











