KUALA LUMPUR 23 Mac – Notis hadir kauseling telah dikeluarkan kepada 31 lelaki dan 30 wanita oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana berkelakuan kurang sopan, awal pagi tadi.
Kesemua mereka dikesan melakukan perbuatan itu ketika serbuan dilakukan dalam Operasi Banteras Aktiviti Haram (Op BAH) siri ke-11 di tiga buah pusat hiburan di sekitar Sungai Besi dan Bukit Bintang di sini.
Dalam operasi itu juga, Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyita pelbagai barangan dan sebanyak 20 tangkapan warga asing telah dilakukan oleh Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Sementara itu, Agensi Antdadah Kebangsaan (AADK) telah membuat tangkapan terhadap empat lelaki dan seorang wanita yang positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC),” maklum DBKL dalam laman sosial Facebook hari ini.
Operasi itu diketuai Timbalan Pengarah, Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Muhammad Irwan Abdullah bersama 157 pegawai dan petugas DBKL serta pelbagai agensi lain. – UTUSAN ONLINE











