SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) akan dapat membuktikan bahawa formula kerjasama politik antara UMNO dan Pas tidak berjaya andai calonnya, Dr. S. Streram menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kejayaan Streram menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dalam pilihan raya tersebut akan turut memperkuatkan lagi kedudukan politik PH.
Justeru, beliau yang juga Menteri Pengangkutan, menganggap PRK DUN Rantau pada 13 April ini akan menjadi ibu kepada semua PRK.
“Jika keputusan PRK kali ini berpihak kepada PH, ia akan beri implikasi besar kepada UMNO dan BN kerana berjaya menewaskan pemimpin utama mereka. Ini akan jadi PRK paling penting dan signifikan berbanding PRK lain sebelum ini.
“Hasil keputusan PRK ini akan beri kesan besar bukan saja pada politik di Negeri Sembilan, tapi politik negara kerana calon BN adalah pemangku Presiden UMNO dan Pengerusi BN,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Bilik Gerakan DAP PRK Dun Rantau di sini hari ini.
Dalam pada itu, Siew Fook yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, PRK DUN Rantau berbeza dengan PRK Semenyih kerana PH perlu mempertahankan kerusi itu, sebaliknya di Rantau mereka perlu menyerang.
Sehubungan itu, katanya, Streram adalah pilihan calon terbaik PH dan DAP Negeri Sembilan akan menggerakkan seluruh jentera bagi memastikan kemenangan PH.
“Kalau kita dapat serang kubu kuat Tok Mat (Mohamad), ia bermakna kita dapat perkuatkan PH,” katanya. – K! ONLINE











