KUALA LUMPUR – Pelakon Farali Khan mengakui tidak kecewa apabila namanya digugurkan daripada sebuah produksi filem aksi tempatan akibat patah buku lali yang dialami ketika sedang menjalani latihan.
Farali, 30, berkata, dia percaya segala yang berlaku adalah ketentuan Allah dan yakin rezekinya dalam bidang lakonan masih luas.
“Walaupun saya telah berlatih berminggu-minggu untuk mendapatkan bentuk badan ideal bagi watak tersebut dan memotong pendek rambut, tetapi saya tidak kecewa.
“Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Saya mahu sentiasa positif dengan apa yang telah berlaku. Saya juga yakin, ‘dugaan’ ini mampu membuatkan saya lebih kuat dan berani untuk terus berkarya sebagai pelakon,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Kakak kepada pelakon Isa Khan itu juga berkata, dia sentiasa bersikap profesional terhadap syarikat produksi tersebut dan menghormati keputusan yang telah dibuat.
“Sejujurnya, saya okey dengan keputusan itu. Saya juga telah diberikan pampasan apabila khidmat tidak lagi diperlukan dalam filem berkenaan.
“Walaupun dengan imej berambut pendek, saya masih percaya pada bakat saya dan insya-Allah, tawaran pasti ada,” ujarnya.
Dalam pada itu, Farali turut memberitahu yang dia tidak akan mudah putus asa untuk memperjuangkan minatnya dalam bidang lakonan.
“Walaupun dalam keadaan sebegini, saya tidak akan mudah putus asa.
“Insya-Allah, kecederaan patah buku lali ini dijangka pulih sekitar dua minggu lagi. Selepas itu, saya akan kembali aktif,” katanya lagi.
Selain Malaysia, Farali juga aktif berkarier di Indonesia. Antara filem lakonannya di republik itu termasuklah 3 Dara dan Demi Cinta. – K! ONLINE











