Noor Ariati bangkit dari sengsara kanser - Utusan Malaysia

Noor Ariati bangkit dari sengsara kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 22 Mac – Lima tahun lalu, Noor Ariati Salleh, 46, pernah hilang semangat untuk meneruskan hidup selepas disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga.

Sejak disahkan menghidap penyakit itu pada Februari 2014, dia menganggap sebarang peluang untuk terus bernafas hari demi hari bagaikan satu bonus baginya.

Bercerita lanjut, Noor Ariati memberitahu, dia mula mendapatkan rawatan awal di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana mengalami sakit pada bahagian belakang badan dan bahu pada Februari sebelum disahkan menghidap kanser tahap tiga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, doktor mengesahkan dia menghidap kanser payudara setelah menjalani beberapa ujian dan rawatan pengambilan tisu dari payudara (biopsi) sebelah kiri.

“Hati siapa yang tidak sedih memikirkan nasib yang terjadi pada diri sendiri, saya hanya mampu diam untuk tenangkan diri setelah mendengar berita itu dari doktor.

“Tapi saya mula bangkit melawan kesakitan apabila melihat keikhlasan dan kesungguhan keluarga dan suami, Nazly Zakaria yang sentiasa berada di sisi sehingga sanggup meninggalkan perniagaan hampir tiga tahun kerana ingin menjaga saya,” katanya.

Noor Ariati berkata demikian kepada pemberita selepas Kejohanan Bowling Sempena Sambutan Hari Wanita 2019 di Pasar Raya Billion, di sini semalam.

Noor Ariati yang juga Pengerusi Kelab Usahawan Wanita Kelantan (Kuwak) berkata, dia menjalani pembedahan membuang kesemua payudara sebelah kiri pada April 2014 bagi mencegah daripada terus merebak.

“Bulan Ogos tahun sama, saya menjalani kemoterapi sekali lagi dan bermula tahun ini, keadaan saya bertambah baik apabila hanya perlu berjumpa doktor setahun sekali untuk pemantauan.

“Tiada kata-kata, selain syukur kepada Allah SWT kerana memakbulkan doa. Saya menganggap ia satu keajaiban dalam hidup saya,” ujarnya sambil menyeru semua pesakit kanser supaya tidak mudah patah semangat, sebaliknya bangkit melawan kesakitan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini