MELAKA – Seorang pekerja kedai barangan sukan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengugut isterinya menggunakan parang dua minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Saifuddin Mohd Isa, 24, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menakutkan secara jenayah dengan menggunakan parang panjang terhadap isterinya, Nurul Asyikin Seman, 21, di sebuah rumah di Kampung Kandang di sini sekitar pukul 12.30 tengah hari pada 10 Mac lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM5,000 manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan isteri tidak bekerja.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE











