[VIDEO] Bekas pengurus akaun didakwa pecah amanah RM4.3juta - Utusan Malaysia

[VIDEO] Bekas pengurus akaun didakwa pecah amanah RM4.3juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Seorang bekas pengurus akaun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 28 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM4.3 juta tahun lalu. 

Tertuduh, Hoh Kian Kuen, 48, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain sebaik kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa kepadanya.

Mengikut kesemua pertuduhan, Kian Kuen yang ketika itu pengurus akaun di Syarikat HCH Construction Sdn. Bhd. dengan curang telah melakukan pecah amanah berjumlah RM4.3 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesalahan itu dilakukan di Ambank Cawangan Bukit Tinggi, Klang bermula Ogos 2018 hingga Januari tahun ini.

Jika sabit kesalahan boleh sehingga 20 tahun, sebatan serta denda mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Yahya menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, Peguam Goh Kim Lian mewakili tertuduh memohon wang ikat jamin dikurangkan atas alasan Kian Kuen menyerah diri bagi membantu siasatan selain mempunyai penyakit jantung.

“Tertuduh juga mempunyai anak berusia lapan tahun yang kini dibawah jagaan isteri dan tinggal berasingan.

“Anak guam saya juga mempunyai seorang ibu yang berusia 80 tahun yang akan menjaminnya manakala bapa serta adiknya sudah meninggal dunia selain seorang abang yang masih hidup,” katanya.

Ahmad Zamzani kemudiannya menolak permohonan pihak pembelaan supaya ibu tertuduh menjadi penjamin atas faktor usia dan tanggungjawab penjamin adalah berat iaitu memastikan tertuduh hadir ke sebarang prosiding di mahkamah.

Beliau kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM700,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin yang merupakan warganegara Malaysia dan bukan berusia emas serta pasport antarabangsa ditahan mahkamah.

“Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan selain dilarang berkomunikasi dan berjumpa dengan mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai,” jelasnya.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 10 Mei depan. – K! ONLINE

Video oleh MOHD. SHAHARANI SAIBI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini