PORT DICKSON 22 Mac – Seorang pelajar Kolej Vokasional Port Dickson maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 14.9 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) dekat sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, badan mangsa, Muhammad Izzul Akmal Azmi, 19, yang beralamat di Taman Desa Permai, Pedas hancur digilis sebuah kereta dan tiga motosikal lain.
Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed, kemalangan berlaku selepas motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang mangsa terbabas di lokasi kejadian.
“Siasatan awal polis mendapati kemalangan berpunca apabila motosikal mangsa hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan.
“Sebuah kereta dan tiga motosikal tidak dapat mengelak mangsa lalu melanggar mangsa. Sebelum kejadian, semua kenderaan bergerak dari arah Seremban ke Port Dickson,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Aidi Sham berkata, dua penunggang motosikal yang juga pelajar Kolej Vokasional Port Dickson masing-masing berusia 19 tahun turut mengalami cedera ringan di muka dan badan dalam kemalangan itu.
Menurut beliau, pemandu kereta jenis Honda dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jelas beliau, mayat mangsa dihantar Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban bagi menjalani bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987. – UTUSAN ONLINE











