KUALA KANGSAR 22 Mac – Seorang anggota tentera ditemukan mati lemas di sebuah kawasan sungai berdekatan Kampung Baru Sauk di sini semalam.
Mayat Nor Azmi Md Jilani, 33, ditemukan dalam keadaan terlentang dengan tiada kecederaan pada badan.
Mayat mangsa didapati telah membengkak, dipercayai telah meninggal dunia lebih 24 jam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 2.15 petang.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang bekerja sebagai anggota tentera, sepatutnya melaporkan diri ke Kompeni A Batalion Keempat Rejimen Sempadan di Kem Gerik hari ini.
“Mangsa telah keluar rumah pada pukul 10 pagi sewaktu hari kejadian. Menurut abang mangsa, Bakhtiar Md Jelani, mangsa tidak mempunyai sebarang musuh.
“Barang-barang mangsa di motosikalnya juga tidak hilang. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya di sini hari ini.
Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR). – UTUSAN ONLINE











