NUR HANANI AZMAN [email protected] KUALA LUMPUR 21 Mac – Sistem Penilaian Kualiti untuk Kerja Pembinaan Bangunan (Qlassic) akan diwajibkan bagi semua projek perumahan awam dan swasta di Malaysia berkuatkuasa 2020 ke arah menjadikan kediaman mampu milik lebih berkualiti tinggi. Qlassic merupakan sistem penilaian kualiti hasil kerja pembinaan yang diperkenalkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, ia dilaksanakan menerusi pemeteraian kerjasama di antara CIDB dan Jabatan Perumahan Negara (SPN), Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) serta Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Katanya, ini adalah selaras dengan mandat yang digariskan di bawah Dasar Perumahan Negara 2.0 yang mana KPKT akan mewajibkan pemilikan sijil Qlassic bagi kesemua projek perumahan awam mahupun swasta, berkuat kuasa pada 2020 ke arah menjadikan kediaman mampu milik awam sinonim dengan kualiti tinggi. Jelas beliau, ia merupakan satu daripada sasaran di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016- 2020 ke arah memantapkan lagi kualiti kerja dalam industri pembinaan. “Kajian separuh penggal ClTP menyasarkan 100 peratus projek perumahan mampu milik awam mencapai markah Qlassic sekurang-kurangnya 65 peratus menjelang 2020. “Kerjasama yang ditunjukkan oleh agensi-agensi ini sememangnya satu perkembangan yang amat membanggakan kerana ia membuktikan bahawa pengukuran kualiti Qlassic tetap relevan untuk rumah mampu milik dan ia tidak terhad kepada rumah-rumah berkos tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Hari Qlassic 2019 di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











