SEREMBAN 21 Mac – Seramai tujuh peserta menjadi kumpulan terakhir yang akan memperdengarkan bacaan pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2019M, di Dewan Perbandaran Seremban di sini malam ini.
Qariah yang mewakili tuan rumah, Nor Farhatul Fairuzah Panut menjadi peserta pertama naik ke astaka dengan membacakan surah al-Isra’ mulai ayat 18 mengikut taranum hijaz soba diikuti peserta dari Pulau Pinang, Muhammad Siddiq Mohd. Rosli yang akan membacakan ayat 15 surah an-Nisa’ mengikut taranum hijaz soba.
Peserta dari Selangor, Nor Faizah Panut akan membaca ayat 126 surah al-Baqarah mengikut taranum soba nahawand manakala rakan qari dari negeri yang sama, Abdul Khair Jalil akan membacakan surah al-Mai’dah bermula ayat 54 mengikut taranum nahawand hijaz.
Qariah dari Johor, Nor Syuhada Muhamad pula akan membacakan surah an-Nisa’ bermula ayat 34 mengikut taranum soba nahawand manakala qari dari Wilayah Persekutuan, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad membacakan surah Yusuf bermula ayat 1 mengikut bacaan taranum rast nahawand.
Qariah dari Terengganu, Nor Hidayah Abd. Rahman akan membacakan surah an-Nur bermula ayat 19 mengikut taranum hijaz soba.
Seramai 21 daripada 28 peserta telah memperdengarkan bacaan mereka malam tadi pada majlis tilawah yang bertemakan ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’. – UTUSAN ONLINE











