Tentera Thailand rampas diesel bernilai RM1.28 juta - Utusan Malaysia

Tentera Thailand rampas diesel bernilai RM1.28 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK 20 Mac – Tentera Thailand hari ini merampas 300,000 liter minyak diesel bernilai sekitar 10 juta baht (RM1.28 juta) yang dipercayai diseludup dari Malaysia dan menahan 13 penduduk tempatan bagi membantu siasatan.

Timbalan Komander Pasukan ke-4 Tentera Thailand, Mejar Jeneral Jatuporn Kalaphasut berkata, pihak berkuasa menemui lebih 120,000 liter diesel dari sebuah bot nelayan dan lebih 170,000 liter lagi dari sebuah bot nelayan lain dalam operasi pada pukul 2.30 pagi (waktu tempatan) di dermaga Klong Bo Non, Daerah Sala di Nakhon Si Thammarat, Selatan Thailand hari ini.

“Kami percaya ia rampasan terbesar diesel seludup di Selatan Thailand. Berdasarkan siasatan awal minyak diesel itu dipercayai diseludup dari Kelantan, di pantai timur Malaysia. Harga minyak diesel di Malaysia lebih murah, sebab itu mereka ambil kesempatan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Harga diesel di Thailand adalah antara 27.29 baht (RM3.60) (Ultraforce Diesel) seliter dan Ultraforce Premium Diesel 30.89 baht (RM4.06) seliter, manakala harga diesel di Malaysia ialah RM2.18 seliter.

Jatuporn berkata, sindiket yang dipercayai didalangi oleh warga tempatan dari Songkhla itu memiliki kira-kira 30 bot untuk menjalankan aktiviti penyeludupan, dan berdasarkan siasatan sindiket itu biasanya menjalankan aktiviti penyeludupan enam atau tujuh kali dalam sebulan, sejak setahun lepas.

“Ia adalah sindiket yang tersusun rapi di mana lori tangki akan menunggu di darat untuk mengangkut dan mengagihkan bekalan minyak itu ke daerah-daerah lain,” katanya dan menambah dalang sindiket itu melarikan diri dengan meninggalkan keretanya selepas mendapati kegiatannya sudah diketahui pihak berkuasa.

Menurutnya, kapal yang membawa munyak seludup itu akan dihanyutkan dalam kawasan perairan antarabangsa yang berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, dan bot-bot nelayan akan mengangkut ia untuk dibawa ke dermaga di Tha Sala.

“Pihak berkuasa turut merampas lima lori tangki berhampiran dengan dermaga,” tambahnya.

“Sejumlah 13 penduduk tempatan ditahan, termasuk juragan, krew, dan pemandu lori, namun dalangnya terlepas,” katanya. -BERNAMA


 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini