Pembantu pasar malam ditahan terlibat Macau Scam - Utusan Malaysia

Pembantu pasar malam ditahan terlibat Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Mac – Seorang pembantu pasar malam tidak sempat mengeluarkan duitnya RM250,000 di sebuah bank di sini selepas ditahan polis kerana dipercayai terlibat aktiviti Macau Scam.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, lelaki berusia 60 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya selepas memantau kegiatan suspek yang telah mengeluarkan sejumlah wang yang banyak pada hari sebelumnya.


“Kita bertindak dan bekerjasama dengan pihak bank selepas mendapat laporan daripada seorang pesara pegawai pemasaran berusia 71 tahun yang mengalami kerugian sebanyak RM560,000 selepas ditipu lelaki yang menyamar sebagai Pegawai Kanan Polis dari Ibu pejabat Polis Kontinjen Sarawak.


Memuatkan artikel berkaitan…

“Suspek memaklumkan akaun mangsa terlibat dengan kegiatan jenayah pengubahan wang haram sebelum diarahkan untuk memindahkan semua wang simpanan kepada akaun pegawai Bank Negara untuk tujuan audit dan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Menurut Risikin, suspek turut menyatakan bahawa wang yang dipindahkan itu akan dikembalikan semula selepas siasatan selesai dijalankan dan mangsa akur untuk bertindak demikian kerana ketakutan.


Jelasnya, mangsa telah membuat laporan polis selepas menyedari ditipu pada semalam dan suspek kini telah ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Sementara itu, Risikin memberitahu, sebanyak 18 kes Macau Scam dicatatkan di daerah Subang Jaya yang melibatkan kerugian sebanyak RM802,970.10 sejak Januari lalu.


Tambahnya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan menghubungi pihak polis atau institusi kewangan yang dinyatakan untuk tujuan pengesahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini