Kemalangan membawa penemuan dadah - Utusan Malaysia

Kemalangan membawa penemuan dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 20 Mac – Seorang penganggur yang tekad melarikan diri dengan motosikal daripada sekatan jalan raya sehingga menyebabkan kemalangan membawa kepada penemuan dadah 85 gram (g) heroin di Beris Kubur Besar, Tawang, Bachok, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu menyebabkan suspek cedera parah dan berada dalam keadaan kritikal di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Superintenden Roslan Yusof Mohamad berkata, suspek yang berusia 34 tahun cedera di kepala dan badan selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah lori di persimpangan lampu isyarat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, pada kejadian itu sepasukan anggota dari Balai Polis Bachok, Tawang dan Gunong dalam tugasan Ops Lejang membuat pemeriksaan dan ternampak lelaki menunggang motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru menghala ke Pak Pura, Bachok.

“Suspek pada mulanya menunggang menuju ke arah anggota polis namun selepas itu dia bertindak secara tiba-tiba membuat pusingan mengejut dan berpatah balik ke arah Binjai.

“Pada masa sama datang sebuah lori membawa muatan tanah dari arah Binjai ke Bachok cuba mengelak namun suspek tidak dapat mengawal motosikalnya lalu merempuh lori itu” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

Tambahnya, mangsa terjatuh serta tidak sedarkan diri dan hasil pemeriksaan lanjut ke atas motosikal menjumpai satu beg silang berisi dua bungkusan yang mengandungi 17 botol dipercayai dadah jenis heroin dalam anggaran berat 85g.

“Polis juga menemui sebuah lagi beg kecil berisi tiga penyedut minuman berisi 29 pil kemerahan dadah jenis pil kuda. Keseluruhan dadah yang dijumpai bernilai RM34,435.

“Semakan mendapati suspek yang berasal dari Kampung Perupok, Bachok tersebut memiliki sembilan rekod lampau membabitkan kesalahan dadah termasuk mengedar,” ujarya.

Sementara Roslan memberitahu setiap sebotol dadah jenis heroin dapat menghasilkan 200 tiub bagi kegunaan 200 penagih dalam satu-satu masa.

Jelasnya, semasa kejadian suspek baharu sahaja menerima bekalan dan dipercayai untuk diedar bagi kegunaan kawasan port dadah.

“Suspek masih dirawat HUSM dan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini