PKR Perak minta kaji pengagihan lantikan ahli majlis PBT - Utusan Malaysia

PKR Perak minta kaji pengagihan lantikan ahli majlis PBT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 20 Mac – Kerajaan negeri diminta mengkaji semula pengagihan lantikan ahli majlis dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini yang dilihat tidak seimbang melibatkan wakil-wakil dari parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan PKR Perak, Raja Azam Shah Raja Omar Ikram berkata, bersandarkan kepada semangat Pakatan Harapan, DAP seharusnya tidak mendominasi, sebaliknya memberikan sedikit ruang untuk lantikan ahli majlis kepada wakil parti politik lain khususnya dari PKR.

“Majlis Perbandaran Taiping misalnya, terdapat keseluruhan 24 orang ahli majlis dan wakil DAP diwakili oleh 18 orang. Kita harap DAP dapat ‘kendurkan’ sedikit, mungkin DAP ambil 15, tiga lagi dikongsikan dengan diberikan kepada parti komponen.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Wakil ahli majlis tidak melambangkan komuniti yang diwakili. Macam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kamunting, kita hanya ada tiga ahli majlis diwakili oleh Parti Amanah Negara (Amanah) sementara PKR juga ada tiga iaitu di Taiping, Bukit Gantang dan Larut,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Difahamkan kontrak pelantikan ahli majlis di seluruh PBT negeri Perak akan berakhir pada Julai ini dan setiap parti komponen Pakatan Harapan sedang dalam proses menamakan wakil mereka di kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, Raja Azam Shah berkata, beliau secara peribadi melihat senario itu sebagai tidak sihat, apatah lagi gambar lantikan ahli Majlis Perbandaran Taiping sebelum ini pernah ditularkan dalam media sosial kononnya dianggotai 100 peratus oleh wakil berbangsa Cina.

Menurut beliau, pihaknya bukan berniat untuk meminta semua kuota, sebaliknya hanya sebilangan dua tiga lantikan ahli majlis bagi melantik individu yang berkaliber.

“Dalam keadaan UMNO dan Pas memainkan sentimen bangsa, memang kita tidak mahu melayan perkara ini sebab ia adalah corak politik lama.

“Namun, jangan kita lupa benda ini akan menjadi senjata yang menikam kita balik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini