MELAKA – Sepasukan anggota bomba dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di sini terpaksa bertungkus-lumus memadamkan kebakaran lebih 96 jam tanpa henti selepas hutan seluas kira-kira 16.5 hektar di Kampung Pengkalan Badak-Kampung Bisut Licin, di sini terbakar sejak Ahad lalu.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Zaidi Safuan berkata, kebakaran melibatkan pokok jenis gelam itu pada mulanya hanya melibatkan keluasan kira-kira lima hektar sebelum ia merebak ekoran faktor cuaca panas.
Menurutnya, sehingga kini seramai 30 anggota masing-masing dari BBP Bukit Katil, BBP Ayer Keroh, BBP Jalan Kubu dan BBP Merlimau dikerahkan ke lokasi dengan diketuai Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba negeri, Zulkifli Nordin.
“Anggota yang bertugas ditempatkan 24 jam di lokasi kebakaran bagi mengawal api daripada terus merebak.
“Keadaan cuaca yang kini panas terik dan berangin antara faktor yang menyebabkan kebakaran merebak,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran di sini hari ini.
Beliau berkata, kerja-kerja pemadaman itu juga mengambil masa berikutan sumber bekalan air yang terhad dan pihaknya terpaksa menggunakan pam yang disambung dengan jarak 305 meter dari sungai berdekatan.
“Kita jangkakan kebakaran ini dapat dipadam sepenuhnya dalam masa dua hari lagi. Berdasarkan semakan, kawasan ini tidak pernah berlakunya sebarang kebakaran dan puncanya masih dalam siasatan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini pihaknya telah menerima 455 kes sejak awal Mac dengan purata panggilan sehari diterima membabitkan kebakaran hutan, kebun dan lalang sebanyak 100 kes. – K! ONLINE











