SHAH ALAM – Selangor mencatatkan rekod pelaburan tertinggi bagi sektor perkilangan dalam tempoh 30 tahun apabila merekodkan nilai pelaburan diluluskan sebanyak RM18.947 billion.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 238 peratus berbanding 2017 dengan nilai kemasukan pelaburan sebanyak RM5.592 billion.
Katanya, pencapaian yang mengagumkan ini juga diterjemahkan melalui pelaburan asing berjumlah RM10. 837 billion manakala RM8.11 billion hasil sumbangan pelaburan tempatan.
“Berdasarkan statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan sebanyak 241 projek perkilangan telah diluluskan di Selangor bagi tahun lalu berbanding hanya 202 projek perkilangan yang diluluskan pada tahun 2017.
“Jumlah projek yang diluluskan ini merupakan yang tertinggi di dalam negara ini bagi tahun lalu dengan ianya menunjukkan peningkatan sebanyak 19 peratus dari segi bilangan projek,” katanya
dalam sidang akhbar prestasi pelaburan negeri Selangor 2018 di Lobi Bangunan Annex di sini hari ini.
Menurut beliau, China merupakan penyumbang tertinggi dari segi nilai pelaburan iaitu sebanyak RM3.934 billion pada tahun lalu.
Ujarnya, negara tersebut telah melabur di dalam sektor barangan asas logam, produk kertas dan sektor lain.
“Kejayaan prestasi memberangsangkan pelaburan itu menunjukkan keyakinan komuniti perniagaan antarabangsa dan tempatan terhadap ketelusan dan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri.
“Ia turut disumbang oleh keberkesanan usaha-usaha yang telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri menerusi agensi penggalakkan pelaburannya iaitu Invest Selangor Berhad serta kerjasama dari Pihak Berkuasa Tempatan, pejabat daerah dan agensi-agensi teknikal yang lain,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Amirudin turut menegaskan sebanyak 18,475 peluang pekerjaan berjaya dibuka dalam sektor perkilangan pada tahun lalu.
“Ini merupakan peningkatan sebanyak 84 peratus, berbanding dengan 10,031 peluang pekerjaan di sektor perkilangan pada tahun 2017,” katanya. – K! ONLINE











