KUALA LUMPUR 20 Mac – Keselamatan rumah-rumah ibadat di negara ini adalah bergantung kepada akal fikiran penduduk yang tidak mengambil tindalan membalas dendam.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pihak berkuasa selalu mengawasi masjid dan kuil walaupun diketahui jumlah rumah-rumah ibadat itu di negara ini adalah banyak.
“Kita selalu mengawasi masjid-masjid tetapi kita tahu jumlah masjid banyak, kita tahu jumlah kuil juga banyak jadi kita bergantung kepada akal fikiran penduduk negara kita ini.
“Jangan ambil tindak balas kerana kalau kita bertindak balas, orang lain akan ambil tindak balas di lain tempat pula. Jadi kita akan menghadapi masalah yang berpanjangan, sebab itu dari segi akal budi, jangan kita berbalas dendam, akan mengundang balas dendam di lain kali, “ katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberitahu, aggota polis diarah memantau kuil dan gereja di negara ini susulan insiden serangan di Masjid Al Noor dan Linwood di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 50 umat Islam dan 50 orang lagi cedera.
Jelas Mohamad Fuzi, beliau telah mengeluarkan arahan serta-merta kepada semua ketua polis negeri dan ketua polis daerah berhubung perkara itu. – UTUSAN ONLINE











