SHAH ALAM – Syarikat pengeluar produk minyak pelincir berteknologi nano, Platinum Oil & Gas (PO&G) komited untuk mengekalkan harga produknya di sebalik peningkatan harga produk automotif di pasaran.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Suhaimi Hashim, PO&G sedaya upaya akan mengekalkan harga pasaran semasa dan menyerap kenaikan kos cukai jualan bagi setiap produk.
“Walaupun kami mengalami sedikit pengurangan pulangan kerana masih mengekalkan harga lama, apa yang penting pelanggan tetap memilih minyak pelincir PO&G.
“Kami hanya melakukan perubahan harga sebanyak dua kali sejak 10 tahun lalu,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani Perjanjian Antara PO&G dan Pengedar Baharu, Azi Azuan Abdullah di Seksyen 23 di sini semalam.
Produk PO&G yang ditawarkan di pasaran ketika ini ialah minyak pelincir sintetik Gold Platinum 10W40 4L (liter) pada harga RM148 dan Metal Treatment Gold 240ml (mililiter) berharga RM88.
Suhaimi berkata, pihaknya menyasarkan seramai 100 ejen dan 12 pengedar untuk tahun ini dalam memudahkan pemasaran produk syarikat.
Tambahnya, PO&G dalam proses akhir sebelum memperkenalkan pembungkusan baharu pada produknya.











