Saya sayang MAS - Tun M - Utusan Malaysia

Saya sayang MAS – Tun M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Mac – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau amat menyayangi syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airline Berhad (MAS).

Namun begitu, jelas Perdana Menteri, kerajaan kini melihat tidak mampu untuk menyelamatkan MAS dan disebabkan itu kerajaan sedang mengkaji sama ada perlu menjual atau tidak syarikat itu.

“Saya sayang MAS, saya mahu MAS dijadikan satu syarikat penerbangan nasional tetapi kita nampak seolah-olah kita tak mampu.

“Ada pihak-pihak tertentu ingin membeli MAS, jadi kita tidak tolak, kita mahu kaji sama ada perlu jual ataupun tidak. Saya nampak bahawa pengurusan setakat ini, walaupun kita memilih pengurus dari luar, masih lagi MAS mengalami kerugian, jadi satu daripada caranya adalah dengan menjual,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Penaung Persatuan Pekerja Bersara Malaysia Airline Berhad (MASRA), Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, kerajaan digesa mempertimbangkan usaha sama dengan pihak swasta dalam menyelamatkan MAS.

Tambahnya, dalam keadaan kritikal MAS kini, kerajaan perlu mengeluarkan kertas cadangan yang mengandungi cara-cara untuk menyelamatkan syarikat itu secepat mungkin dan bukan mengambil keputusan untuk menutupnya.

Sementara itu, Dr. Mahathir memberitahu, memang ada dalam kalangan bekas pekerja MAS yang berminat untuk memberikan khidmat yang terbaik tetapi strategi dilakukan itu tidak menguntungkan.

“Umpamanya kerajaan memberikan RM6 bilion kepada MAS untuk menolong syarikat, pihak MAS pula telah menghentikan pekerja seramai 6,000 orang tetapi setelah itu MAS tidak terbang seperti dahulu. Sudah hapuskan banyak penerbangan.

“Ini bermakna dari segi pengurangan kakitangan dan pengurangan kerja ada beza, kalau kita kurang pekerja tetapi kita kekalkan status yang lama barulah ada simpanan, kalau kurang pekerja, kurang kerja, tiada kelebihan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×