JAKARTA 19 Mac – Anggota Dewan Pengarah Badan Pemenangan Nasional (BPN) Prabowo Subianto-Sandiaga Uno, Fadli Zon mengkritik program kad bantuan sosial yang diperkenalkan Joko Widodo (Jokowi)- Ma’ruf Amin.
Fadli sebagaimana lapor Tribunnews berkata, adalah kurang bijak apabila setiap program bantuan sosial diaplikasikan melalui kad.
“Apa gunanya memiliki terlalu banyak kad, adakah setiap penduduk perlu membawa sebanyak 12 kad?
“Jadi saya percaya cara berfikir menghasilkan banyak kad itu betul-betul cara berfikir yang kurang bijak,” katanya, semalam.
Menurut wakil Ketua Umum Gerinda itu, penggunaan pelbagai kad dalam setiap program bantuan menunjukkan ketidakseimbangan dalam pemikiran maju.
Dari satu sudut katanya, Jokowi memperjuangkan revolusi perindustrian 4.0, namun beliau masih melaksanakan sistem yang agak ketinggalan dalam pemberian bantuan.
“Ada kad Indonesia sihat, kad Indonesia pintar dan nanti ada kad Indonesia bodoh, sabar.
“Ia pelaksanaan kuno bertentangan dengan perjuangan kearah kemajuan menerusi revolusi 4.0,” katanya.
Tambah Fadli, sudah masanya Indonesia mewujudkan hanya satu kad pengenalan elektronik yang menyimpan data kependudukan dan semua program bantuan.
“Guna satu kad untuk semua, tak perlu pelbagai kad,” tambahnya. – AGENSI











