Deflasi berterusan pada Februari - Utusan Malaysia

Deflasi berterusan pada Februari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Mac – RAM Ratings menjangkakan deflasi akan berterusan pada kadar 0.2 peratus untuk Februari lebih rendah berbanding 0.7 peratus yang dicatatkan pada Januari.

Ketua Penyelidiknya, Kristina Fong berkata, perkembangan sederhana disokong oleh komponen harga makanan yang ­dijangka meningkat disebabkan kesan asas yang rendah.

Menurutnya, kawalan harga dilaksanakan semasa sambutan Tahun Baharu Cina pada Februari lalu secara tidak langsung membantu mengawal inflasi produk makanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami juga menyemak semula unjuran inflasi 2019 kepada 1.6 peratus berbanding dua peratus.

“Unjuran inflasi tahun ini yang lebih rendah disebabkan oleh pengurangan pada harga siling minyak serta semakan semula terhadap kesan kos dan limpahan kos susulan pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada September 2018,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Fong, tekanan inflasi sepatutnya meningkat pada separuh kedua tahun ini berbanding kesan pada separuh pertama.

Laporan The Edge Market yang memetik tinjauan Reuters mendapati, Indeks Harga Pengguna (IHP) dijangka jatuh 0.3 peratus pada Februari berbanding tahun sebelumnya.

Dalam perkembangan lain, industri peruncitan negara merekodkan pertumbuhan perlahan kepada 2.7 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2018 berbanding 3.1 peratus yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Kumpulan Peruncitan Malaysia berkata, festival akhir tahun dan musim cuti sekolah gagal memacu kadar pertumbuhan 2018 dan ia konsisten dengan indeks sentimen pengguna ­seperti dilaporkan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

“Kadar pertumbuhan jualan peruncitan bagi keseluruhan 2018 adalah 3.9 peratus berbanding tempoh sama 2017. Cuti cukai tiga bulan gagal menaikkan industri runcit yang lembab.

“Prestasi industri peruncitan masih di belakang kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) selama enam tahun berturut-turut,” katanya.

Menurut persatuan itu lagi, prestasi terburuk dicatatkan oleh sub sektor pasar raya besar super dan hiper masing-masing dengan penyusutan empat peratus dan lima peratus.

“Kami menjangkakan keadaan yang lebih stabil dan kadar pertumbuhan pada 3.1 peratus untuk suku keempat tahun ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini