PERMATANG PAUH 19 Mac – Kementerian Pembangunan Luar Bandar menegaskan setiap permohonan geran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dilakukan dengan cara yang profesional serta telus tanpa prasangka politik.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, permohonan geran itu terutama daripada aspek penilaian diputuskan melalui jawatankuasa khas yang dianggotai oleh pelbagai pihak termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Pembangunan Negeri dan jabatan negeri berkaitan.
“Jangan ada pihak yang membuat tanggapan negatif terhadap kesetiaan dan keupayaan agensi-agensi khususnya di bawah kementerian yang mengurus geran ini.
“Kita harus sedar kesejahteraan rakyat di bawah hala tuju baharu kementerian adalah untuk semua rakyat,” katanya ketika berucap dalam majlis interaksi sempena kursus induksi MPKK Perlis dan Pulau Pinang di sini hari ini.
Program itu dihadiri kira-kira 1,498 ahli MPKK yang dilantik di kedua-dua negeri berkenaan bagi mengikuti kursus MPKK 2019 yang dijalankan selama dua hari.
Menurut Rina, geran MPKK itu yang bernilai RM10,000 bagi setiap kampung tidak begitu besar jumlahnya namun dapat menghasilkan impak yang besar jika dirancang dengan baik bagi melaksanakan aktiviti menjana pendapatan, keceriaan dan kesejahteraan kampung.
“Geran yang disediakan ini dapat membantu kampung membangunkan sumber-sumber pelbagai prospek seperti sektor pelancongan desa, perkhidmatan, pertanian dan lain-lain,” katanya.
Dalam pada itu, Rina berkata, MPKK juga disarankan untuk meluaskan lagi hubungan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan di daerah, wakil rakyat malah dengan ahli-ahli kariah sendiri.
“MPKK perlu memainkan peranan utama menjadi mata dan telinga kepada kerajaan supaya bantuan dapat disalurkan kepada penduduk di situ.
“Kita mesti berusaha untuk menjadi pemimpin yang baik yang tidak hanya berilmu tetapi mempunyai personaliti yang disenangi,” katanya. – UTUSAN ONLINE











