Ngauman Malaysia Deaf Tigers - Utusan Malaysia

Ngauman Malaysia Deaf Tigers

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKALIPUN tidak mendapat liputan meluas daripada media tempatan, namun kecemerlangan skuad futsal orang pekak kebangsaan mengharumkan nama negara dalam Kejohanan Asia Pasifik di Bangkok, bulan lalu tidak boleh ­disembunyikan.

Skuad kebangsaan yang diberi julukan Malaysia Deaf Tigers (MDT) cemerlang membawa pulang dua anugerah dalam kejohanan tersebut iaitu Fair Play (Permainan Bersih), selain Kasut Emas (Penjaring Terbanyak) yang dimenangi kapten Mak Chee Weng.

Meskipun hanya berada di kedudukan kelima kejohanan itu MDT tetap menjadi kebanggaan menerusi dua anugerah tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anugerah ini dinilai berdasarkan rekod paling bersih selain disiplin yang tinggi ditunjukkan pasukan sepanjang kejohanan. Sepanjang kesemua lima perlawanan, skuad kebangsaan hanya mengutip lima kad kuning dan tiada layangan kad merah.

MDT sebelum ini menang tiga perlawanan iaitu ke atas Indonesia dan Mongolia di peringkat Kumpulan A masing-masing menerusi keputusan 6-1 dan 24-4 selain menewaskan China 13-8 dalam perebutan tempat kelima.

Sementara itu, Chee Weng yang dinobatkan selaku penjaring terbanyak selepas meledak 22 gol mengakui amat terkejut dengan anugerah yang diperolehinya itu.

“Saya tidak menyangka akan memperoleh anugerah Kasut Emas dan saya berasa sangat bersyukur. Saya ingin mengucapkan terima kasih khasnya kepada jurulatih dan pengurus serta rakan sepasukan yang telah bekerja sama sepanjang kejohanan berlangsung.

“Tidak lupa juga kepada MSDeaf (Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia) yang banyak memberi peluang kepada saya untuk sampai ke tahap ini,” katanya yang merupakan pemain futsal bagi skuad futsal Perak di Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

Paling membanggakan ketika Chee Weng menjaringkan 11 gol ketika membantu Malaysia menang besar 24-4 Mongolia pada aksi ketiga kejohanan.

“Saya memang yakin pasukan saya mampu dapat mengalahkan Mongolia tetapi, tidak menyangka jumlah gol yang sebanyak ini,” kata pengurus skuad kebangsaan, Yusri Abd. Ghani.

Dalam kejohanan tersebut, Malaysia nyaris mara ke separuh akhir apabila tewas kepada 3-5 kepada tuan rumah, Thailand dalam perebutan ke slot tersebut.

Jurulatih MDT, Ali Che Ahmad berkata, biarpun ia penyertaan sulung skuad kebangsaan pada kejohanan itu, namun mereka telah memberikan tentangan hebat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini