SEPANG – Jasad dua rakyat Malaysia, Datin Tai Siew Kim dan Lim Sai Wah yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Lombok, Indonesia pada Ahad lepas tiba di tanah air hari ini.
Jasad Siew Kim yang merupakan Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily, dan Sai Wah dibawa melalui penerbangan Garuda GA816 dari Jakarta yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira pukul 5.19 petang sebelum dibawa ke Kompleks Kargo KLIA pada kira-kirapukul 6 petang.
Suasana pilu menyelubungi Kompleks Kargo KLIA dengan hadirin termasuk pihak pengurusan Sin Chew Daily dan ahli keluarga dilihat menitiskan air mata apabila sami melakukan upacara keagamaan.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir di kompleks kargo itu ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Kenderaan yang membawa kedua-dua jasad meninggalkan Kompleks Kargo KLIA itu pada kira-kira pukul 6.45 petang.
Difahamkan, jasad mendiang Siew Kim akan dibawa ke Taman Peringatan Nirvana Sungai Besi, Kuala Lumpur sementara jenazah Sai Wah dibawa ke Jementah, Segamat, Johor untuk disemadikan.
Anthony yang ditemui pemberita merakamkan penghargaan kepada semua pihak khususnya pegawai Wisma Putra yang membantu membawa jenazah kembali ke tanah air. – Bernama











