KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan penahanan seorang ketua polis balai berserta dua anggotanya di ibu negara dalam beberapa siri tangkapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam.
Jelas beliau, setakat hari ini kesemua individu berkenaan masih di dalam tahanan SPRM dan siasatan berhubung kes tersebut sedang dijalankan.
“Setakat ini pihak kami belum menerima sebarang maklumat berhubung siasatan yang dijalankan pihak SPRM namun sedia maklum berhubung tangkapan tersebut melalui siaran di dada-dada akhbar.
“Bagaimanapun, arahan telah dikeluarkan kepada Ketua Polis Kuala Lumpur serta Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk menjalankan siasatan dalaman susulan daripada penahanan itu,” katanya pada satu sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Polis, Bukit Aman di sini hari ini.
Terdahulu, Mohamad Fuzi hadir menyempurnakan Majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara Koperasi Polis Diraja Malaysia dengan Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) dan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) di sini.
Tambah Mohamad Fuzi, arahan bagi memerangi kegiatan perjudian serta maksiat telah dikeluarkan kepada semua Ketua Polis Negeri serta Daerah namun sekiranya terdapat kelemahan penyeliaan atau penglibatan dengan isu berkait integriti, tindakan tegas akan diambil.
Ketua polis balai beserta dua anggota berkenaan merupakan sebahagian daripada 16 individu yang ditahan SPRM melalui beberapa siri tangkapan di sekitar Lembah Klang semalam kerana dipercayai melindungi dan menerima wang sogokan daripada premis pusat urut.
Turut ditahan adalah kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, pegawai pasukan bomba dan penyelamat serta lapan orang awam. – K! ONLINE











