BERLIN 19 Mac – Jurulatih Jerman, Joachim Loew tekad untuk menjadikan aksi persahabatan menentang Serbia sebagai medan terbaik untuk dia membuktikan segala kritikan yang dilemparkan terhadap dirinya adalah tidak tepat.
Loew berharap pengalaman pahit yang terpaksa dilaluinya pada tahun lalu dapat diubati dalam perlawanan bertemu Serbia di Wolfsburg, awal pagi esok (waktu Malaysia) selepas menyaksikan Jerman terpaksa pulang awal daripada saingan Piala Dunia di Rusia selain tersingkir daripada kumpulan atas dalam Liga Negara-Negara UEFA.
Pertemuan menentang Serbia merupakan aksi pemanas badan sebelum Jerman menghadapi Belanda dalam aksi pembukaan kelayakan Euro 2020 di tempat lawan dan pastinya skuad Die Mannschaft mahu membalas dendam selepas mereka kalah 0-3 kepada Oranje di Arena Amsterdam pada Oktober lalu.
Berita berkaitan:
Bagaimanapun, jurulatih 59 tahun menerima kritikan apabila dia menggugurkan penyerang veteran Mats Hummels, Jerome Boateng dan Thomas Mueller dalam panggilan kali ini namun dia menegaskan keputusannya itu adalah tepat.
“Kami perlu berfikir sejak Piala Dunia. Kami perlu lebih cepat, bercita-cita besar dan dinamik. Kami tewas dalam Piala Dunia dan permainan kami sudah boleh dibaca oleh pihak lawan,” katanya.
Loew yang turut menyenaraikan muka baharu iaitu Niklas Stark, Maximilian Eggestein dan Lukas Klostermann mengesahkan Manuel Neuer menjadi pilihan utamanya walaupun Marc-Andre ter Stegan turut tersenarai.
“Sesetengah pemain perlu mengambil langkah yang seterusnya. Goretzka dan Kimmich pemain yang bercita-cita dan memiliki idea. Suele sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab jadi kami meletakkan harapan yang tinggi kepada dia,” katanya lagi. – AFP











