KUALA LUMPUR – Seorang juruteknik kritikal selepas kenderaan yang dinaikinya remuk apabila dirempuh sayap kiri sebuah pesawat persendirian di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang semalam.
Kejadian pada pukul 3.20 pagi itu berlaku ketika mangsa yang dikenali sebagai Ruzaimi, 30-an, sedang menyelia kerja-kerja mengecat garisan di landasan tersebut oleh dua pekerja lain.
Mangsa yang ketika itu berada di dalam kenderaan pacuan empat roda Perodua Kembara dikatakan tidak menyedari kehadiran pesawat Bombadier Challenger 300 yang sedang mendarat di lapangan terbang tersebut.
Difahamkan, pelanggaran itu telah menyebabkan kenderaan tersebut remuk hingga mengakibatkan bumbungnya tercabut dan mencederakan kepala Ruzaimi.
Berdasarkan gambar yang tular di media sosial, pelanggaran melibatkan bahagian sayap kiri pesawat.
Malaysia Airports dalam satu kenyataan berkata, mangsa telah dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan manakala kru pesawat tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Bomba telah dikejarkan ke lokasi kejadian pada pukul 3.21 pagi dan insiden itu telah menyebabkan ketibaan beberapa penerbangan terjejas di sebabkan kerja-kerja membersihkan serpihan di LTSAAS.
“Operasi kembali pulih pada pukul 9 pagi dan landasan beroperasi seperti biasa,” kata kenyataan itu.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











