PETALING JAYA: Segala pelan yang akan diambil UMNO adalah tidak sah jika pindaan Perlembagaan parti itu ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Bercakap kepada Utusan Malaysia penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, perkara itu jelas dan UMNO sepatutnya sedia maklum dengan situasi berkenaan.
“UMNO mahu cerita tentang pelan lanjut sedangkan jika sesebuah pertubuhan sudah haram, maka semua tindakan yang diambil adalah tidak sah di sisi undang-undang.
“Sepatutnya diperbetulkan semula keadaan itu mengikut peraturan-peraturan RoS untuk menjadi ‘halal’ semula,” katanya di sini semalam.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu mempunyai pelan selanjutnya jika RoS tidak meluluskan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).
Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan butiran pelan tersebut kerana masih di bawah perancangan parti.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan RoS mempunyai masa sehingga 16 Julai untuk meluluskan pindaan Perlembagaan parti itu.
Sementara itu, pengamal undang-undang, Datuk Adnan Seman menjelaskan, UMNO masih berpeluang melakukan semakan kehakiman sekiranya RoS tidak meluluskan pindaan perlembagaan parti itu.
“Kalau tidak lulus, UMNO kena buat juga pemilihan sebelum Disember 2022 tetapi mereka masih boleh memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan RoS.
“Tetapi, RoS kena ada sebab munasabah untuk tolak pindaan UMNO kerana mereka meluluskan pindaan perlembagaan MCA dan Gerakan sebelum ini, jadi sudah ada kes terdahulu dan sudah tentu terpakai kepada parti lain,” katanya.
Namun, katanya, jika keputusan tetap tidak memihak kepada UMNO, beliau meminta RoS supaya memberikan ruang yang secukupnya kepada parti itu.
“UMNO perlu mengadakan pemilihan parti selewat-lewatnya pada Disember 2022, ada lima bulan, jadi apabila RoS membuat keputusan, jangan lengah-lengahkan, perlu diberi ruang sewajarnya untuk adakan pemilihan,” katanya. – UTUSAN










