PETALING JAYA: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang mempergiat usaha untuk menarik pelaburan berpotensi daripada firma terkemuka Korea Selatan dianggarkan bernilai RM5 bilion.
Pelaburan dalam sektor petrokimia, bahan kimia khusus dan termaju untuk membangunkan kilang-kilang pembuatan baharu di Terengganu.
Bagi tujuan itu, kerajaan negeri dan ECERDC telah melakukan misi pelaburan ke Korea Selatan selama lapan hari bermula 25 Jun lalu diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembanggunan Wilayah dan Kesejahteraan Petandbiran Terengganu, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat.
Misi turut disertai pegawai-pegawai Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan Petronas, disambut oleh Pengarah MIDA di Seoul, Reduan Zabri.
Baidzawi berkata, misi merupakan kesinambungan daripada komunikasi berterusan antara pihak ECERDC dengan para pelabur sasaran di Korea Selatan sejak dua tahun lalu.
Kata beliau, ECERDC menaruh keyakinan tinggi bahawa syarikat-syarikat itu akan melabur di Wilayah ECER, khususnya di Terengganu.
“Rakan kongsi strategik ECERDC turut sama menyertai delegasi ini bagi memudah cara proses perundingan dalam memenuhi sebarang keperluan bakal pelabur, sekali gus menambahkan keyakinan mereka untuk melabur.
“Misi pelaburan ini dijangka mampu mengukuhkan hubungan dua hala dan menarik lebih banyak pelaburan berpotensi daripada syarikat Korea Selatan ke ECER,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, mengulas pelaburan syarikat Korea Selatan di Terengganu, Tengku Hassan berkata, Taman Biopolimer Kerteh ECERDC yang kini menempatkan perusahaan CJ Bio Malaysia hasil pelaburan lebih RM2 bilion daripada konglomerat Korea, CJ Cheiljedang.
“Kerajaan negeri komited dalam menjalin kerjasama yang lebih erat dengan ECERDC bagi meningkatkan kesedaran tentang tarikan pelaburan yang ada di negeri Terengganu buat pelabur Korea Selatan,” katanya.
Semasa di Korea Selatan, delegasi telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil dari sub sektor berpotensi lain yang menunjukkan minat untuk melabur dalam bidang bioteknologi, tenaga boleh diperbaharui dan perkhidmatan ICT di Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
Korea Selatan merupakan antara rakan dagang terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan berjumlah RM79.78 bilion pada 2020. – UTUSAN










