PUTRAJAYA 7 Okt.- Sebanyak 80 entiti dan invididu disenaraikan nama penerima wang yang dipercayai berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Antara penerima itu adalah adik bekas Perdana Menteri, Datuk Nazir Razak; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan; Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
Nazir didakwa menerima RM25.7 juta wang berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, senarai itu juga melibatkan syarikat dan pelbagai pertubuhan politik dengan antaranya UMNO negeri, Pusat Khidmat Parlimen Barisan Nasional dan pertubuhan bukan kerajaan.
“Jumlah keseluruhan yang membabitkan wang itu adalah RM420 juta daripada serendah RM500,000 sehingga RM34 juta.
“SPRM telah mengeluarkan notis kompaun di bawah Seksyen 92 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001 kepada nama terlibat dengan mereka perlu membayar kompaun yang boleh mencecah 2.5 kali ganda jumlah diterima,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menambah, pihaknya telah membuka kertas siasatan berkenaan perkara itu dan diharapkan mereka menerima notis ini mengambil langkah serius untuk membayar kompaun berkenaan.-UTUSAN ONLINE









