Pondok Pak Teh Mad banyak berjasa - Utusan Malaysia

Pondok Pak Teh Mad banyak berjasa

TOK GURU PAK TEH MAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONDOK Ahmadiah antara pusat pengajian agama tradisional tersohor di Kedah. Apatah lagi di belakangnya adalah ulama terkenal, Tok Guru Pak Teh Mad iaitu Datuk Ahmad Mohd. Nor.

Pak Teh, 95, ulama tertua di Kedah membangunkan pondok tersebut pada 1961 sekembalinya berguru dari Mekah.

Sejak itu, Pondok Ahmadiah menjadi manifestasi kegigihan tokoh berkenaan dalam berdakwah dan menegakkan syiar Islam di negeri ini.

Lokasi pondok ini jauh di desa menjadikan persekitarannya tenang untuk penghuni menjalani kehidupan serba sederhana. Pondok yang terletak di Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang, Kedah ini mempunyai lebih 200 penghuni daripada pelbagai lapisan usia dan latar belakang namun satu matlamat iaitu mendalami ilmu keagamaan.

Penghuni paling muda di Pondok Ahmadiah berusia 16 tahun dan paling tua pula 80 tahun. Mereka berada di situ untuk mencari bekalan akhirat dengan bimbingan ilmuwan agama.

Mereka bukan sahaja berasal dari Kedah tetapi juga dari luar negeri ini yang terpanggil mengabdikan diri dengan ilmu agama di sini kerana namanya yang tersohor walaupun dengan kehadiran semakin banyak pondok yang moden ketika ini.

Selain pembelajaran ilmu agama mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) termasuk tafsir, fiqh, hadis, tajwid, fardu ain dan doa-doa, kehidupan di pondok ini adalah serba sederhana dengan kemudahan memadai melengkapkan rutin harian penghuninya.

Di sebalik itu, banyak prestasi membanggakan diperoleh daripada generasi muda yang menghuni Pondok Ahmadiah memandangkan ada dalam kalangan mereka berpeluang melanjutkan pengajian agama di negara-negara Arab termasuk Yaman dan Mesir.

Menurut penyelia pondok, Muhd. Faiz Ahmad yang juga anak kepada Pak Teh Mad, perkembangan jati diri penghuninya terutama golongan muda amat membanggakan.

“Anak-anak muda yang dihantar ke pondok ini serba kurang ilmu agamanya malah ada antara mereka mempunyai pelbagai masalah akhlak. Bagaimanapun selepas tempoh tertentu mereka mampu mengaji, menghafal al-Quran malah menjadi imam.

“Mereka yang kita lihat berpotensi untuk pergi jauh kita hantar ke luar negara supaya pulang kelak boleh terus berbakti dan meneruskan dakwah,” katanya.

Beliau tidak menafikan banyak alumni pondok ini berjaya menjadi pendakwah termasuk meneruskan kerjaya dalam bidang berkaitan keagamaan.Antara yang disebut Muhd. Faiz ialah penceramah bebas, Ustaz Abdullah Mahmud dan Harun Hasan.

 

MUHD. FAIZ AHMAD

Belajar secara percuma

Bercerita lanjut, kata Muhd. Faiz, mereka yang menghuni pondok itu tidak dikenakan sebarang bayaran cuma sekadar derma selagi tidak membebankan penghuni terutama dalam kalangan asnaf.

“Pondok ini tidak membebankan penghuni walaupun tanpa dibiayai, rezeki sentiasa ada untuk mereka hasil derma daripada individu yang prihatin.

“Contohnya, dalam seminggu, tiga atau empat kali penghuni bergotong-royong untuk kenduri daripada bekalan makanan yang disedekahkan dermawan,” katanya.

Sesuatu yang pasti pandemik Covid-19 ini tidak menjejaskan minat orang ramai untuk menghuni Pondok Ahmadiah walaupun dengan norma baharu yang diterapkan dalam kehidupan seharian mereka kini.

“Sepanjang pandemik kami tidak menghalang mereka untuk pulang ke rumah masing-masing atau terus menetap di sini. Tetapi di sini kita pastikan pergaulan mereka terbatas mengikut ketetapan pihak kerajaan dan tidak boleh bebas keluar dari kawasan pondok.

“Alhamdulillah cara ini berkesan dan sehingga kini Pondok Ahmadiah bebas daripada Covid-19. Malah tok guru juga sering menerapkan amalan penjagaan diri yang berlunaskan Islam untuk mencegah jangkitannya,” tambahnya yang juga salah seorang daripada 11 guru agama di pondok itu.

 

PEMANDANGAN Pondok Pak Teh Mad di Padang Terap, Kedah.

Menurut Muhd. Faiz, pondok berkenaan sentiasa mendapat perhatian dermawan yang turut membiayai pembinaan bangunan kediaman penghuninya.

Terbaharu, pembinaan bangunan asrama dengan kos RM240,000 di situ dibiayai seorang dermawan terkenal.

“Pak Teh mempunyai hubungan baik dengan banyak pihak dan disegani ramai kerana jasa-jasanya memartabatkan institusi pondok.

“Begitu juga walaupun pada usia yang lanjut tok guru sentiasa mengambil berat tentang perjalanan pondok. Seminggu sekali pasti turun padang untuk bertemu dan memberi irsyad kepada penghuni,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×