Kolej Vokasional lahirkan usahawan berjaya - Utusan Malaysia

Kolej Vokasional lahirkan usahawan berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 5 Okt. – Kolej Vokasional berupaya melahirkan graduan yang berjaya dalam bidang keusahawanan sehingga mampu memperoleh pendapatan lumayan pada usia muda.

Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Kementerian Pendidikan, Datuk Haidzir Hussin berkata, ini terbukti apabila ada graduan yang meraih pendapatan sehingga RM70,000 sebulan hasil perniagaan kuih bahulu.

“Kita ada beberapa program dengan kerjasama pihak luar seperti 1st Step bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk melatih pelajar. Ada beberapa siri jelajah seluruh negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pelajar diberi kursus secara khusus dalam bidang keusahawanan, mendaftarkan syarikat mereka secara percuma selain ada dana dan bimbingan tertentu.

“Sebab itu ada graduan yang kita lahirkan dapat RM20,000 dan RM70,000 sebulan. Ada yang buka kedai kek sehingga pendapatan mencecah RM40,000 sebulan ketika masih di bawah umur 23 tahun hasil didikan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Istiadat Konvokesyen Kolej Vokasional Kali Keempat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, di sini hari ini.

Istiadat konvokesyen itu disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan, Dr. Ahmad Rafee Che Kassim.

Seramai 14,387 graduan Kolej Vokasional dari seluruh negara menerima diploma masing-masing.

Dalam pada itu, Haidzir mengingatkan pelajar bahawa dalam dunia yang semakin mencabar, mereka perlu memiliki kemahiran dan bukan sekadar sijil akademik.

Tegasnya, persepsi sesetengah ibu bapa dan masyarakat bahawa pendidikan vokasional adalah kelas dua juga perlu dikikis.

“Kebolehpasaran graduan Kolej Vokasional sangat tinggi. Semasa menjalani latihan industri lagi mereka ditawarkan pekerjaan. Ini beri peluang besar kepada rakyat untuk mendapat pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, dalam istiadat konvokesyen hari ini, graduan Kolej Vokasional Sungai Petani 1, Muhammad Izwan Osman Tan serta dua graduan KRU Academy, Rabiatul Adawiyah Azaruddin dan Munirah Abu Bakar menerima Aungerah Terbaik Program. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×