KUALA LUMPUR 1 Okt. – Malaysia pentas penting kepada ekuiti swasta (PE) di ASEAN yang dijangka mencecah AS$70 bilion (RM294 bilion) dari segi nilai urus niaga menjelang 2024.
Pengerusi Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas), Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, susulan kelas aset terus berkembang di peringkat tempatan, tiada kekurangan peluang yang ditawarkan mendorong pelabur dan penggiat lain menaikkan peruntukan mereka dalam PE sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian mereka.
“Kita amat bertuah untuk berada di rantau pertumbuhan yang menarik dan membuka laluan kepada pasaran kita untuk matang dan justeru itu, meningkatkan minat kepada pengembangan, penggabungan dan pengambilalihan,” katanya dalam ucapan pada Forum Ekuiti Swasta Malaysia 2019 di sini hari ini.
Raja Arshad berkata, prospek untuk melabur dalam syarikat bertaraf dunia yang seterusnya, dan pertumbuhan pesat dalam pelbagai sektor dan negara di rantau ini adalah baik.
“Ini menjanjikan peluang pelaburan yang banyak di ASEAN sekali gus mewujudkan dorongan untuk aktiviti PE yang rancak di rantau ini,” katanya. – BERNAMA











