Pelajar Malaysia dipindahkan ke Jakarta kembali ke Riau hari ini - Utusan Malaysia

Pelajar Malaysia dipindahkan ke Jakarta kembali ke Riau hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA – Pelajar Malaysia di Riau, Sumatera yang dipindahkan ke Jakarta akibat jerebu baru-baru ini, kembali ke provinsi itu hari ini berikutan keadaan jerebu telah kembali pulih.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar berkata, ia berikutan penamatan darurat jerebu di provinsi itu yang bermula hari ini.

Kumpulan pertama seramai 18 pelajar dijadual berlepas pukul 11 pagi dari Jakarta ke Jambi dengan pesawat Citilink QG964 manakala kumpulan kedua seramai 35 pelajar akan berlepas pada pukul  5.05 petang ini dengan pesawat Citilink QG938 dari Jakarta ke Pekanbaru.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Riau yang sebelum ini melebihi bacaan 500, telah menurun ke bacaan bawah 150 sejak dua hari lepas.

“Semua pelajar Malaysia yang ditempatkan sementara di Malaysia Hall itu, pulang hari ini ke Jambi dan Pekanbaru, ” katanya pada majlis perpisahan bersama pelajar berkenaan di Malaysia Hall hari ini.

Mereka dipindahkan pada 25 September (kumpulan pertama seramai 35 pelajar) dan 26 Sept lepas (kumpulan kedua seramai 18 pelajar), selepas Gabenor Riau, Syamsuar mengisytiharkan provinsi itu berstatus darurat jerebu bermula 23 September lepas berikutan IPU telah melebihi 500, sehingga mencecah bacaan 700.

Berikutan hujan sejak beberapa hari lepas, dan keadaan jerebu semakin pulih, Syamsuar mengumumkan status itu ditamatkan hari ini.

Pelajar terbabit dipindahkan ke Jakarta berikutan masih dalam proses permohonan visa pelajar atau KITAS (Kartu Izin Tinggal Terbatas), manakala lebih 100 pelajar lagi dipindahkan atau pulang ke Malaysia. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×