Jom tanam jambu batu - Utusan Malaysia

Jom tanam jambu batu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nama saintifik jambu batu ialah Psidium guajava yang tergolong dalam famili Myrtaceace. Jambu batu mempunyai permintaan yang tinggi dan pasaran yang baik dalam kalangan masyarakat Malaysia. Secara umumnya, terdapat dua jenis buah jambu batu iaitu jambu batu tanpa biji dan jambu batu berbiji.

Buah jambu yang paling diminati ialah jambu tanpa biji kerana mempunyai rasa yang manis, rapuh dan isi yang bertekstur halus manakala jambu batu berbiji perlu diproses untuk dijadikan jus, jeruk selain dimakan segar.

Pokok Jambu batu boleh mengeluarkan buah pada umur enam hingga 12 bulan selepas penanaman bergantung kepada klon jambu. Ianya tidak bermusim tetapi berbuah sepanjang tahun.

Pokok jambu mudah dibiak dengan menggunakan kaedah pembiakan tut. Jarak tanaman yang disyorkan bagi anak pokok jambu batu ialah 4 m x 4 m dengan menggunakan sistem segiempat atau segitiga sama.

Klon jambu batu yang ditanam di kawasan ladang UPM ialah seperti klon GU 5

( MAHA 65 ), GU 8 (Kampuchea ), GU 9 ( Klom Toon Klao ), GU 10 ( Klom Sali ) dan jambu tanpa biji.

TIPS PENJAGAAN

Antara tip penjagaan yang dapat dikongsi pada ruangan kali ini adalah seperti berikut :-

Pengairan

• Kekurangan air pada peringkat awal penanaman akan menyebabkan pertumbuhan terbantut dan mengurangkan pertumbuhan pucuk muda.

• Kerja menyiram anak pokok jambu secara manual atau sistem pengairan adalah digalakkan dua kali sehari pada peringkat awal pertumbuhan supaya dapat tumbuh dengan baik dan cepat membesar.

• Sungkupan perlu diletakkan di sekeliling pokok supaya mendapat kelembapan pada tanah dan pokok.

Kawalan Rumpai

• Pertumbuhan rumpai yang tidak dikawal akan menjadi saingan kepada pokok dalam pengambilan nutrien, air dan menjadi perumah kepada perosak dan penyakit.

• Pengurusan rumpai secara manual dilakukan dengan cangkul semasa pokok masih kecil.

• Penggunaan racun rumpai amat berkesan untuk mengawal rumpai akan tetapi perlu berhati-hati supaya tidak terkena pada bahagian pokok jambu. Penggunaan racun rumpai merupakan pilihan terakhir untuk kawalan rumpai.

Pembajaan

• Baja NPK Hijau 15:15:15 / Baja Tumbesaran digunakan pada tahun pertama sahaja dengan kekerapan empat kali setahun. Kadar yang diperlukan ialah 6OO gram sepokok.

• Baja NPK Biru 12:12:17:2 /Baja Buah digunakan pada tahun berikutnya dengan kekerapan tiga kali setahun. Kerja membaja perlu dilakukan dengan cara menabur di sekeliling pokok.

Pemangkasan

• Kerja pemangkasan akan mengalakkan pertumbuhan tunas dan pucuk yang baru, membentuk dahan dan ranting pembuahan serta mengawal saiz pokok jambu batu.

• Pada peringkat awal pertumbuhan, pemangkasan pembentukan perlu dilakukan supaya mendapatkan cabang yang baik dan rendang.

• Pemangkasan penjagaan perlu dilakukan dengan memotong ranting yang bersilang, yang bersudut kecil antara satu sama lain, mati, berpenyakit serta ranting yang tidak produktif.

• Pemangkasan yang berlebihan akan menyebabkan pokok tidak dapat mengeluarkan bunga dan buah serta menjejaskan kesihatan pokok.

Kawalan penyakit dan perosak

• Terdapat beberapa perosak yang menyerang pokok jambu batu seperti lalat buah, kutu trips, kepinding nyamuk, koya, bena putih dan ulat pemakan daun.

• Tanda serangan boleh dilihat pada bahagian seperti daun, pucuk daun, batang dan buah. Kawalan boleh dilakukan dengan menggunakan racun serangga yang sesuai, pemangkasan , membalut buah dan kawalan secara kultura.

• Buah jambu yang busuk perlu dikutip dan dibersihkan supaya lalat buah tidak membiak.

• Penyakit yang merosakkan tanaman jambu batu ialah seperti keruping buah, antraknos buah, reput hitam buah dan reput perang buah.

• Kawalan yang berkesan ialah dengan cara semburan racun kulat yang disyorkan dan secara pemangkasan manakala penyakit bengkak akar yang disebabkan oleh cacing nematod boleh dikawal dengan menggunakan racun yang disyorkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×